Monday 25 March 2013
0 comments

IMAN DAN ISLAM



Kita selalu merasa tenang dalam kehidupan kita. Ya, Allah telah  melimpahkan rahmatnya kepada kita, sehingga kita dapat hidup selesa,mempunyai keluarga, belajar dengan tenang, dan ya, kita juga muslim, kita mengaku dengan sungguh-sungguh pengakuan dengan aqidah tauhid. Namun, dalam kesenangan yg mengulit, cuba kita kira, sudah berapa kali kita bersusah untuk islam, sudah beberapa parut yg terukir kerana islam dan sudah berapa ketakutan yang kita harungi kerana islam. Allah berfirman:


Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu dugaan)?Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya akan orang-orang yang berdusta. (QS. al-Ankabut: 2-3)


Mungkin kerana kita tidak mahu atau kita mengamalkan islam secara salah. Sudah berapa kali kita mengkhatamkan al-quran, namun ayat-ayat ancaman jika lalui dan penekanan terhadap bacaan bukan terhadap makna yang hendak Allah taala sampaikan melalui maknanya, maka kita bacakan dengan bacaan yang sangat indah namun makna dan maksud sebenar tidak sedikitpun menggegar jiwa. Hanya sekadar halwa telinga terusik jiwa dek kerana sedapnya bacaan, tanpa sedikitpun rasa hendak membuka terjemahan, meneliti maknanya. Namun, kita masih mendabik dada mengatakan kitalah yang mengamalkan Al-Quran, kitalah generasi Al-Quran!

Islam tidak menginginkan umatnya menjadi hanya ahli ibadat, Saidina Umar r.a mengomentar seorang lelaki yang kelihatan lembik, pasif kerana mahu kelihatan wara’, katanya “janganlah kamu matikan agama kami, Allah akan mematikan kamu, angkatlah kepala kamu, sesungguhnya islam bukan berpenyakit” Sahabat-sahabat menggambarkan Saidina Umar r.a “kami melihat Umar, lantang suaranya, bila dipukul sakit, bila berjalan cepat langkahnya, tetapi kami melihat beliaulah yang paling bertaqwa antara kami”. Islam bukan agama hanya bersandar ditiang masjid, mengaminkan doa imam yang tidak diketahui maksudnya. Islam perlu bergerak mengislah manusia, menghapuskan kemungkaran dan kezaliman, menjadikan manusia diatas apa yang telah diturunkan kepada Rasulullah SAW, meluaskan kerja hidup manusia untuk hidup didunia dan diakhirat, membebaskan manusia dari perhambaan kepada manusia kepada perhambaan kepada Allah taala.

Dakwah menjadi satu juzuk penting dalam islam, tanpanya islam tidak dapat disebarkan dan akan terhapus. Allah penjaga kepada agama islam, dan Allah menegakkan kaki-kaki pendakwah untuk terus menegakkan kalimah islam, menyatakan kebenaran dan menyampaikan kepada orang ramai. Dengan itu, islam terus berkembang mekar dan menjalar, sehingga islam sampai kepada kita meskipun kita tingga di gugusan Nusantara yang terletak beribu kilometre jauhnya dengan pusat permulaan islam, Mekah, hebatnya kuasa dakwah. Sebagai seorang muslim, kita semua adalah pendakwah, dan kita semua mestilah menjadi pendakwah.

Kembali kepada suasana pelajar , menekuni pelajaran dan menghayati kebesaran Allah melalui apa yang telah kita pelajari dapat menguatkn iman kita, maka sampaikan risalah islam yang telah kita yakini melalui dakwah samada kepada rakan-rakan atau kepada pesakit yang kita jumpa. Latihan dakwah peringkat ini sebagai persiapan untuk ke masa depan yang jalan kehidupannya yang lebih rencam, jika kita tak mampu melakukan disaat ini, kemungkinan besar kita tak mampu melakukan di masa depan. Allah yang memberi taufiq dan hidayah. Ajaklah manusia kepada solat yang selalu dilalaikan, ajarkan manusia tauhid dan betulkan kebergantungan mereka, dan ajarkan mereka zikir-zikir supaya mereka selalu mengikuti Allah. Dan  Allah lah yang memberi taufiq dan hidayah.




Next
This is the most recent post.
Older Post

0 comments:

 
Toggle Footer
Top