Wednesday, 27 February 2013
0 comments

INDAHKAH AKHLAKKU?



Akhlak,
Bagaikan gula pemanis minuman,
Bagaikan bunga penghiasan taman,
Bagaikan sahabat buat teman,
Bagaikan dunia tenang nan aman.

Tanpa akhlak,
Bagaikan bunga penuh berduri,
Bagaikan taman tidak berseri.
Bagaikan dunia tiada terperi,
Bagaikan jiwa tidak berharga diri.

Akhlak tidak mampu diungkapi melalui kata-kata, tidak mampu hanya dipelajari dari ungkapan mahupun ucapan. Rasulullah s.a.w menegaskan misi baginda buat umat sekalian alam “ Sesungguhnya aku diutus hanyalah untuk menyempurnakan akhlak manusia”. Semakin kita menjauhi Rasulullah, semakin bertingkah kita seperti sahabatnya syaitan, syaitan yang sentiasa menghasut kearah kemungkaran.

Kekasih Allah ini bersabda buat para sahabat,“ Hendaklah kamu berasa malu kepada Allah s.w.t dengan malu yang sebenarnya.” Para sahabat menjawab, “ Ya Nabiyullah, Alhamdulillah kami sudah berasa malu.” Maka menjawab Rasulullah, “ tidak semudah itu, yang dimaksudkan dengan malu kepada Allah s.w.t dengan sebenarnya malu adalah kemampuan kalian memelihara kepala beserta segala isinya (pemikiran), memelihara perut dan apa yang terkandung dalamnya, banyak memperingati mati dan dugaan Allah. Sesiapa yang menginginkan akhirat hendaklah ia meninggalkan perhiasan dunia. Sesiapa yang mengamalkan demikian, maka itulah malu yang sebenarnya malu pada Allah s.w.t.” (Hadis Abdullah b Mas’ud)

Berdasarkan hadis berikut, bukan mudah untuk menilai tahapan akhlak manusia. Benarlah, orang berakhlak adalah orang yang berakhlak dengan dirinya dan Allah. Apabila sendiri, dia mampu merasakan kehadiran Allah yang memerhatikan segala perilakunya. Adakah kita cukup berakhlak dengan diri sendiri? Sebagai contoh sekiranya kita mampu menjaga kebersihan persekitaran kita tanpa perlu kehadiran orang lain, itu dikira berakhlak dengan diri sendiri. Sebaliknya, kita lebih bersikap hanya menjaga kebersihan sekiranya ada tetamu yang menjengah ataupun mengharapkan balasan. Jadi, jom muhasabah!

Dalam hadis yang lain, Nabi menegaskan perasaan malu melahirkan kebaikkan, “Malu tidak akan datang kecuali dengan kebaikkan,”( HR Muslim dari  Imran b Hussain ). Tegas Rasulullah lagi, “ Bagi setiap agama ada akhlak. Akhlak agama Islam adalah malu.” (HR Imam Malik dari Zaid ibn Thalhah). Jadi, malu merupakan perisai utama dari akhlak yang buruk. Mari sama-sama renungi dan teladani kisah Rasulullah supaya bertambah kecintaan dan keperibadian baginda menjadi pedoman.

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik di Akhirat kelak, serta mengingati Allah dalam masa susah mahupun senang.” (Surah Al Ahzab : 21). Wallahualam.






0 comments:

 
Toggle Footer
Top