Monday 18 June 2012
0 comments

ISRAK MIKRAJ: APA KATA IMAN ?







REJAB…ada yang terlintas dalam fikiran semakin dekatlah nak puasa, ada juga yang fikir bulan yang diharamkan berperang,ada yang fikir tentang israk dan mikraj dan ada yang tak fikir apa-apa. Moga-moga kita tidak tergolong dalam orang-orang yang tak punyai perasaan yang tidak mengambil tahu tentang peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah islam.


Dari masjid ke masjid
diredah kelam malam
singkat waktu musafir
jauh marhalah dijejak

Israk Mikraj adalah satu peristiwa yang sangat luarbiasa yang telah dilalui Rasulullah s.a.w. Rasulullah telah melalui Israk dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestine. Mikraj pula merujuk kepada perjalanan Nabi merentas tujuh lapis langit hingga ke Sidratul Muntaha dan ke Mustawa. Semua itu berlaku hanya dalam satu malam.

Di sepanjang jalan
pergi dan pulang
aneh peristiwa dialami
dipanggil suara merayu
dihidang cangkir enak minuman
dipandang tanah subur hati berkenan





Dalam perjalanan nabi melihat:

-Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.


-Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.


-Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.


-Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Satu malam yang dilewati
jauh jarak di muka bumi
petala langit jua diterokai
segala dialami terus diperi
gilalah siapa yang percaya
ceritanya amat luarbiasa
walau dengan dalil nyata
mustahil pada akal kita


Israk Mikraj juga menguji keimanan kita untuk beriman kepada Allah dan Rasulnya. Bayangkanlah jikalau perkara yang sama itu disampaikan pada kita sekarang. Adakah kita akan mempercayai dan beriman dengannya sebagaimana Abu Bakar? Atau kita akan mula menggunakan logik akal kita lalu akan menolak kesahihan peristiwa itu dengan alasan tak masuk akal dan tak logik? Kita akan mula mengeluarkan teori sains yang kita tahu yang menafikan manusia boleh merentasi 7 langit hanya dalam satu malam. Mungkinkah jugakah kita akan ketawa sinis dan mempersendakan berita itu sebagai karut?  Peristiwa Israk Mikraj mengajar untuk percaya kepada perkara ghaib dan percaya kepada Al-Qur’an dan Hadith sebagai panduan dan penyelesai kepada masalah hidup manusia.


Terpahat di tugu sejarah
sahabat setia terima segala
tiada ragu, tiada sanggah
pelik dan benar peristiwa
momentum gerakan dakwah
wadah sempurna dan diredha


Sejarah membuktikan kesetiaan dan kejujuran Saiyidina Abu Bakar terhadap perjuangan Rasulullah s.a.w, dan keyakinannya bahawa Rasulullah adalah utusan Allah. Maka layaklah Saiyidina Abu Bakar digelar oleh Rasulullah s.a.w dengan gelaran As-Siddiq, yang membenarkan.Kepercayaan Abu Bakar ra terhadap Rasulullah merupakan suatu yang harus kita jadikan iktibar dan pengajaran. Beliau tidak ragu-ragu membenarkan kisah Baginda. Walaupun kisah tersebut merupakan kisah yang ajaib dan di luar bayangan manusia pada zaman itu. Beliau tidak menghiraukan cemuhan dan ejekan yang dilemparkan terhadap Baginda malah menyokong Baginda. Inilah dia prinsip yang ditunjukkan oleh Sayidina Abu Bakar


0 comments:

 
Toggle Footer
Top